Wednesday, 19 March 2014

Setiap manusia akan menerima ujian yang berbeza-beza

Dia mengulang-ulang zikir itu di dalam hatinya. Airmata yang jatuh berderaian sudah tidak dapat ditahan. Matanya yang selama ini payah sekali untuk mengalirkan airmata kini tumpah jua akhirnya. Airmata yang membasahi pipinya laju menuruni persis air sungai yang mengalir dalam aturan-Nya. Dia menarik nafas dalam, berusaha mengumpul kekuatan. Namun, dia tidak berjaya! Airmatanya makin laju mengalir! Dirinya tersengguk-sengguk. Tersedu-sedan dirinya menahan perasaan dan airmata. Allahuakbar! Lemah sungguh dirinya waktu itu...

Sedarlah bahawa..FIRMAN Allah SWT: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): " Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Berilah kemaafan kepada kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, Maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (al-Baqarah: 286)


Setiap manusia akan menerima ujian yang berbeza-beza. Melalui air mukanya aku dapat melihat penderitaan yang ditanggung olehnya. Penderitaan yang ditanggung oleh seorang isteri kerana penipuan suaminya , suami yang begitu disanjung dan diberikan sepenuh kepercayaan dan disayangi sepenuh jiwa dan raga, betapa luluhnya hatinya apabila suaminya berkahwin dalam diam tanpa pengetahuannya. Suami apakah ini? Ya Allah. Ini adalah ujian yang diberikan Allah kepadanya.

Deraian demi deraian airmatanya membasahi pipinya. Bajunya sudah lecun dek airmata yang membanjiri wajahnya. Dia merenung ke luar jendela. Awan masih lagi menangis membasahi bumi barakah. Makin kuat tangisannya tatkala melihat hujan. Dia merasa seakan alam memahami dirinya tatkala itu.Teresak-esak dirinya. Wajahnya menunduk. Dia membiarkan airmatanya jatuh membasahi lantai kamarnya.

Lalu, dia menggagahkan diri menuju ke kamar mandi, mengambil wudhuk, menyucikan diri untuk mengadap Sang Ilahi.Dia memakai telekung solatnya. Air mukanya jernih dek wudhuk yang menghiasi wajahnya. Dia menghamparkan sejadah miliknya. Ya Allah, lemah sungguh dirinya. Dirinya tidak punya kekuatan. Lalu, dia kembali berdiri, segera untuk menunaikan solat sunat taubat dan solat sunat hajat. Berharap agar Allah memberikan dirinya petunjuk dan kekuatan. Tatkala dahinya mencecah hamaparan sejadah, hatinya meruntun hiba. Perasaannya sudah tidak tertahan lagi. Airmatanya membasahi hamparan sejadah. Allah, dia merasakan dirinya begitu dekat dengan Penciptanya. Dia tidak berdaya untuk bangun dari sujudnya kerana dia merasakan dirinya begitu kerdil di hadapan penciptanya. Lama dia sujud, menangisi dirinya. Dia tidak hiraukan kakinya yang sudah mula lenguh dek sujudnya yang lama. Namun, kudrat insan, akhirnya dia bangun dari sujudnya dan menyempurnakan salamnya. Matanya sudah bengkak. Sejadah dan telekung solatnya sudah basah. Namun airmatanya masih lagi tidak kering. Alunan zikir membasahi lidahnya.
”Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah..’
 Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah, Lailahailallah..’

Tapi, dia juga sedar dia punya kekurangan dan tidak sempurna. Memang dia tidak akan pernah cukup dan sempurna namun sebagai hamba dia tetap bersyukur. Dia bangun dari sujudnya. Dia menggenggam tangan kanannya dan meletakkan tangannya di dada kirinya.
”Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.”

Dia mengulang-ulang kalimah agung itu. Nafasnya ditarik. Matanya dikatup rapat. Kekuatan Ilahi mula meresap dalam jiwanya. Hatinya kini semakin tenang. Jiwanya semakin kental. ALHAMDULILLAH..

Ujian yang menimpa itu menunjukkan kasih sayang yang dihamparkan kepada kita daripadaNya. Jarang kita tsedar bahawa sebelum ujian datang menjengah dalam kehidupan kita, kita begitu lalai dan leka dalam mengingatiNya. Kerana tidak mahu kita terus terbuai dengan keindahan dunia yang sementara, kita diuji supaya kita sedar bahawa segalanya tidak kekal abadi, melainkan di akhirat nanti.
Teruskan memanjat pengharapan dan pertolongan kepadaNya supaya kita sedar kita hanyalah sekadar hamba kerdil yang memang perlu diuji. Hanya Dia yang tahu apa yang terbaik buat diri. Teruskan pengharapan kepadaNya. Jangan sesekali kita berhenti berharap kepadaNya.

No comments:

Post a Comment